Friday, 23 November 2012

MENANGANI ISU-ISU FALSAFAH DAN DASAR DALAM PERKEMBANGAN PENDIDIKAN DI MALAYSIA


KANDUNGAN :                                                           Muka surat
1.    PENGENALAN                                                                                  3
2.    DEFINISI FALSAFAH  & Dasar                                                       4
3.    PEMBENTUKAN DASAR PENDIDIKAN                                       5
KEBANGSAAN
4.    FUNGSI   FALSAFAH  PENDIDIKAN                                             6
KEBANGSAAN
5.    HURAIAN KANDUNGAN FALSAFAH                                           7
PENDIDIKAN KEBANGSAAN
6.    PELAKSANAAN SISTEM PENDIDIKAN                                     10
KEBANGSAAN
7.    PEMBENTUKAN DASAR PENDIDIKAN                                     13
KEBANGSAAN
8.    OBJEKTIF DASAR PENDIDIKAN                                                14
KEBANGSAAN
9.    ISU DAN KESAN PELAKSANAAN DPK                                     15
10.  FAKTOR KEGAGALAN  DPK                                                       17
11.  PELAKSANAAN KBSM                                                                 18
12.  KRISIS PEMIKIRAN PELAKSANAAN KBSM                             20
13.  KESIMPULAN                                                                                 22
14.  RUJUKAN                                                                                        23











PENGENALAN
Pendidikan   merupakan   satu proses  yang  penting  dalam  pembentukan  diri  individu  ke arah  mengenali diri dan mencapai kehidupan bermasyarakat yang baik dan sempurna. Pendidikan telah didefinisikan oleh Prof. Dr. Muhammad Naquib sebagai “menanam sesuatu ke dalam diri manusia”. (Muhammad dalam Fadzilah, 1996).
Seperti yang kita tahu manusia mempunyai akal fikiran yang membezakannya dengan haiwan, namun manusia tidak dapat melakukan sesuatu dengan baik tanpa proses pendidikan sama ada secara langsung  atau tidak langsung. Kita ambil satu contoh iaitu para petani dan nelayan  melakukan kerja  yang sama dari satu generasi ke satu generasi kerana proses pendidikan yang mereka  teriama dari datuk nenek mereka. Keadaan ini membolehkan mereka  bekerja  sebagai  nelayan  dan petani  sehingga  sekarang.
Pendidikan di Malaysia menjadi salah satu sistem sosial yang paling penting bagi perkembangan  dan  kemajuan  negara. Ia juga diiktiraf sebagai alat untuk  mencapai matlamat perpaduan dan  integrasi  nasional. Ia disusun di dalam Dasar Pelajaran Kebangsaan. Antara perkara yang paling  penting  perlu wujud bagi  mana-mana sistem pendidikan kebangsaan ialah  dasar pendidikan itu sendiri. Ia bukan sahaja menjadi asas pembentukan sistem pendidikan bahkan menjadi panduan yang sangat  penting  dalam  melaksanakan  sistem  tadi.  Tanpa  dasar  yang  jelas,  sudah  tentulah  sistem  dan  perlaksanaannya  tidak  akan  tersusun  rapi,  terumbang ambing  dan  tidak  tentu  arah.  Kemungkinan  juga  pelaksanaan  sistem  akan  mengikut  suatu  arah  pada  satu   ketika  dan  kemudiannya  mungkin  juga  bertukar  haluan  pada  lain  masa.  Kadangkala  perubahan  haluan  atau  arah  ini  boleh  berlaku  kerana  faktor  kepimpinan, kewangan, pengaruh politik  dan  lain-lain.
Dasar  bagi  sesuatu  sistem   pendidikan   haruslah  berpaksikan kepada  falsafah  yang  jelas.  Biasanya  falsafah  inilah  yang  menjadi  teras  pendidikan  kita.  Ia  mengandungi  matlamat,  corak  dan  kaedah  pendidikan  secara  kasar,  ciri-ciri  yang  hendak  dibentuk  dalam  diri  individu  yang  hendak  menerima  pendidikan  itu  serta  skop  yang  dirangkumi  oleh  proses  pendidikan  itu  sendiri.
DEFINISI FALSAFAH
Falsafah  berasal  dari dua perkataan Yunani iaitu  phili dan sophia. Philo membawa maksud mencintai manakala sophia membawa makna kebilaksanaan atau kehikmahan. Ekoran dari itu falsafah bermaksud mencintai kebijaksanaan atau kehikmahan. Dalam bidang pendidikan terdapat  pelbagai definisi yang diberikan oleh tokoh-tokoh falsafah.  Antaranya adalah  seperti  berikut:-
- Menurut  Socrates,  falsafah  ialah  usaha  menyelidik  bagi  membentuk  pengetahuan  yang murni  bagi  mencapai  kebijaksanaan.
- Menurut  Plato  pula, falsafah  ialah  usaha  mengetahui  segala  yang  ada  berhubung    dengan  manusia  dan  kehidupannya  untuk  mencapai  hakikat  kebenaran. 
-Menurut  Aristotle,  falsafah  merupakan  disiplin  yang  menyelidiki  asas  dan  sebab  segala benda.
-Menurut  Al-Farabi, falsafah  ialah  sebagai  ilmu  tentang  alam  yang  maujud  dan bertujuan  menyelidiki  hakikat  sebenarnya.
-Menurut Al-Ghazali  falsafah  ialah  perbincangan  berkaitan  soal-soal  agama  dan ketuhanan  semata-mata  dan  hasil  pemikiran  manusia  yang  spekulatif  yang  berdasarkan ujikaji  dan  pengamatan  yang   tajam.

DEFINISI  DASAR
Dewan Bahasa dan Pustaka (1997) menyatakan bahawa dasar ialah bahagian terpenting, faktor terpenting, paling asas atau pokok. Berdasarkan pada kenyataan Dewan Bahasa Dan Pustaka ini maka dapatlah dikatakan dasar ialah asas dan bahagian terpenting dalam sistem pendidikan. Antaranya  adalah  seperti  di  bawah:-
Sufean Hussin (2002)  berpendapat dasar ialah ketetapan dalam proses pengurusan organisasi atau kerajaan yang tidak statik kerana motifnya bersandar sama ada politik, ekonomi, sosial, sains dan teknologi.  Berdasarkan kenyataan ini kita dapat rumuskan dasar ialah suatu bidang pengurusan dalam sesuatu organisasi atau sesebuah kerajaan yang banyak dipengaruhi oleh pelbagai faktor  seperti ekonomi, politik dan sosial.
Abdullah Sani (2003) pula menyatakan dasar ialah garis panduan untuk mencapai hasrat pendidikan yang dimatlamatkan. Jika mengikut pendapat Abdullah Sani ini kita dapati dasar merupakan garis panduan dalam melaksanakan hasrat pendidikan yang hendak dijayakan.
Colebatch H.K (2002) berpendapat dasar ialah perihatin terhadap arahan, mengimplementasi sistem dan konsisiten. Dasar juga perihatin dalam memberi fokus dari proses bagaimana ia dilakukan kepada dapatan atau hasil.

PEMBENTUKAN FALSAFAH PENDIDIKAN KEBANGSAAN.
Falsafah pendidikan merupakan panduan dan hala sistem pendidikan sesebuah negara. Setiap negara mempunyai falsafah pendidikan negaranya sendiri yang berbeza daripada falsafah pendidikan negara lain. Falsafah pendidikan di Malaysia merupakan hala tuju sistem pendidikan berdasarkan matlamat negara, dasar-dasar, prinsip-prinsip Rukun Negara dan sebagainya.Dari  sudut  sejarah  , falsafah  pendidikan  negara  lahir  daripada  proses  yang  agak  panjang  iaitu  satu  proses  pembinaan  bangsa  dan  negara. Pada September 1974 satu jawatankuasa telah ditubuhkan yang bertujuan untuk mengkaji sistem pendidikan kebangsaan yang telah dilaksanakan sejak selepas merdeka. Jawatankuasa ini yang dinamakan sebagai jawatankuasa Kabinet Mengkaji Pelaksanaan Dasar Pelajaran Kebangsaan telah menyiapkan laporannya pada 1979 atau lebih dikenali sebagai Laporan Jawatankuasa Kabinet 1979. Hasil darilaporan tersebut, sistem pendidikan negara telah mengalami perubahan dimana Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR) telah diperkenalkan.Namun walaupun sudah keperingkat ini falsafah pendidikan negara secara tersurat tidak dinyatakan . Namun begitu hasrat dan matlamat pendidikan negara digambarkan melalui penyata, akta dan laporan-laporan yang ada seperti penyata razak, laporan rahman talib, Akta Pelajaran 1962 dan Laporan Jawatankuasa Kabinet 1979.
Falsafah Pendidikan Negara (FPN) secara bertulis telah digubal pada tahun 1987 dan diperkenalkan pada tahun 1988.  Falsafah Pendidikan Negara ini telah dimurnikan pada tahun 1996 dan dikenali sebagai Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) . Pernyataan dalam FPK adalah berbunyi” Pendidikan di Malaysia  adalah satu usaha berterusan ke arah lebih memperkembangkan potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani,emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan.  Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berakhlak mulia, bertanggungjawab, berketrampilan dan berkeupayaan  mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan  terhadap keharmonian dan kemakmoran keluarga, masyarakat dan negara. 

 FUNGSI  FALSAFAH  PENDIDIKAN  KEBANGSAAN
Dalam proses pendidikan, penetapan falsafah pendidikan adalah penting agar perancangan dan pelaksanaan sistem pendidikan dapat dilaksanakan dengan sistematik dan bertujuan. Falsafah pendidikan merupakan hala tuju atau panduan terhadap perkara-perkara yang berhubung kait dengan pendidikan. Matlamat pendidikan sesebuah negara adalah berdasarkan falsafah pendidikan yang telah ditetapkan. Berdasarkan falsafah pendidikan yang telah ditetapkan juga, maka segala perancangan dalam pendidikan termasuk penetapan dasar-dasar, pengisian program pendidikan, penentuan isi kandungan kurikulum, aspek pelaksanaan kurikulum dan sebagainya akan berfokus dan menuju ke arah yang sama.
Tanggungjawab sistem pendidikan adalah untuk menyiapkan generasi muda dengan pelbagai pengetahuan dan kemahiran supaya mereka dapat menghadapi alam dewasa dengan dengan berjaya, seimbang dan berdaya saing. Dalam konteks menyediakan pendidikan yang ideal, tujuan dan matlamat pendidikan negara pada abad ke 21 amat jelas sekali. Kementerian Pendidikan telah menyusun dan merancang untuk memperbaiki, memperkukuh dan mempertingkatkan mutu pendidikan negara sesuai dengan perubahan sosialisasi masyarakat hari ini. Antara unsur yang penting ialah memberikan peluang pendidikan yang sama kepada semua pelajar tanpa mengambil kira budaya,kelas sosial, kelompok etnik dan amalan atau cara hidup.

Dalam buku Pembangunan Pendidikan 2001-2010 (KPM,2001) Kementerian Pelajaran Malaysia menyatakan bahawa pembangunan pendidikan dari Zaman Dasar Pembangunan hingga ke Zaman Dasar Wawasan Negara telah berjaya mencapai banyak kemajuan khususnya dalam penyediaan infrastruktur, kemudahan pendidikan dan latihan perguruan. Langkah-langkah kerajaan untuk meningkatkan peluang pendidikan berjaya mencapai sasarannya.
Walaubagaimanapun, apa yang dapat kita lihat pada masa ini masih terdapat pelbagai isu yang ditimbulkan berkaitan dengan pencapaian Dasar Pendidikan Kebangsaan.   Antara isu itu ialah berhubung dengan struktur pendidikan, akses kepada pendidikan, ekuiti, kualiti tenaga pengajar, ketidak seimbangan penyediaan infrastruktur,  pelaksanaan program PPSMI  dan kurikulum yang releven.

HURAIAN KANDUNGAN FALSAFAH PENDIDIKAN KEBANGSAAN.
1.         Pendidikan ialah satu usaha berterusan.
Pendidikan merupakan suatu proses yag berlaku dalam diri seseorag sejak dalam kandungan sehingga ke akhir hayatnya.  Sepanjang tempoh ini pendidikan yang berlaku merupakan proses pemerolehan dan pemindahan secara berterusan yang melibatkan pengetahuan, nilai murni, dan kemahiran.  Pendidikan berterusan melibatkan tiga peringkat iaitu peringkat awal, peringkat sekolah dan peringkat lepas sekolah.  Peringkat awal iaitu pendidikan yang diperoleh secara tidak formal yang memberi penekanan terhadap aspek pertuturan, bimbingan agama, asuhan budi pekerti, penjagaan kesihatan dan perhubungan fizikal.  Pada peringkat sekolah pula, murid-murid mendapat pendidikan formal yang melibatkan dua peringkat persekolahan iaitu sekolah rendah dan sekolah menengah.  Pada peringkat ini, penekanan adalah terhadap aspek-aspek perolehan pelbagai ilmu pengetahuan dan kemahiran, penghayatan agama dan nilai murni, perkembangan bakat dan potensi dan pembentukan jati diri. Selepas alam persekolahan, pendidikan terus berlaku semasa seseorang melanjutkan pelajaran ke Institusi Pengajian Tinggi, di tempat kerja mahupun di dalam komuniti masing-masing.  Selain daripada itu, pendidikan terus berlaku secara pembelajaran kendiri sama ada melalui media massa atau media internet.  Pada peringkat lepas sekolah ini penekanan adalah terhadap peningkatan perolehan pelbagai ilmu pengetahuan dan kemahiran, peghayatan agama dan nilai murni. Penyesuaian hidup dan perkembangan bakat dan potensi. 
2.         Memperkembangkan potensi individu.
Potensi merupakan bakat, kebolehan atau keupayaan yang ada pada seseorang individu.  Pendidikan  memainkan peranan untuk memperkembangkan potensi murid optimum sehingga individu mencapai ke tahap cemerlang.  Potensi individu dilihat  dari empat aspek iaitu:
Intelek – Intelek merupakan keupayaan mental iaitu yang berkaitan dengan akal dan daya fikir yangdimiliki oleh seseorang. Intelek merupakan unsur penting dalam perkembangan sesuatu bidang ilmu.
Rohani – Adalah merupakan perkaitan jiwa dan kalbu yang melibatkan hubungan seseorang dengan Tuhan.  Keteguhan rohani sangat penting bagi melahirkan individu yang murni akhlak dan inaf kepada Pencipta.
Emosi – Emosi adalah berkaitan dengan jiwa dan perasaan seseorang.  Perkembangan emosi dititik beratkan kerana emosi mempengaruhi seseorang dalam tingkahlaku dan tindakannya. Dalam FPK, perkembangan emosi adalah bagi memastikan perasaan tenang dan tingkahlaku terkawal,  memiliki dan memupuk perasaan kasih sayang, memiliki semangat kekitaan dan perpaduan dan menghargai serta menilai keindahan dan kesenian.
Jasmani – Merupakan keupayaan psikomotor yang dimiliki oleh seseorang. Ia berkaitan dengan kecerdasan fizikal diri manusia.  Sebagai sebuah negara yang merdeka, keperluan terhadap tenaga manusia untuk membangunkan negara sangat penting.  Jesteru itu rakyat mestilah sihat, berkemampuan dan cergas tubuh badan agar dapat menjadi insan yang mampu melaksanakan apa saja tugas dan bidang yang diceburi.
3.         Perkembang potensi secara menyeluruh dan bersepadu.
Perkembangan keempat-empat potensi adalah bagi membolehkan penguasaan ilmu, kemahiran dan nilai.  Perkembangan keempat-empatnya itu hendaklah dilakukan  secara menyeluruh kerana semuanya adalah sama penting.  Kesemua potensi juga hendaklah dihubungkaitkan antara satu sama lain dan dikembangkan secara bersepadu bukannya satu persatu.  Perkembangan potensi ini adalah berpaksikan prinsip ketuhanan.
4.         Insan yang seimbang dan harmonis.
Manusia yang sejahtera merupakan manusia yang pembangunan dirinya berlaku secara menyeluruh melibatkan semua potensi dengan seimbang. FPK jelas menegaskan bahawa pembangunan insan hendaklah seimbang dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani bagi membolehkan manusia menjalani kehidupan dengan harmonis, seterusnya membentuk keluarga, masyarakat dan negara yang aman dan damai.
5.         Kepercayaan dan kepatuhan kepada tuhan.
Kepercayaan kepada Tuhan merupakan prinsip pertama Rukun Negara.  Setiap individu perlu yakin wujudnya  Pencipta yang mencipta manusia dan alam.  Hukum dan fenomena alam hendaklah difahami dan dipatuhi agar kesejahteraan dan kemakmuran terpelihara.
6.         Rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan.
Ilmu adalah kuasa. Ilmu pengetahuan juga tidak bersifat statik. Bagi membentuk rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, konsep “pendidikan sepanjang hayat” hendaklah menjadi amalan supaya ilmu yang dimiliki terus dikemaskini sesuai dengan peredaran masa. Setiap individu yidak boleh berpuas hati dengan ilmu yang dimiliki pada satu-satu ketika.
7.         Rakyat Malaysia yang berakhlak mulia.
Seseorang yang berakhlak mulia merupakan orang yang menghayati dan mengamalkan nilai-nilai murni, bertingkah laku baik, berdisplin serta bersopan santun. Rakyat Malaysia dituntut agar berakhlak mulia sesuai dengan amalan budaya ketimuran.
8.         Rakyat Malaysia yang bertanggungjawab.
Dalam FPK telah ditegaskan bahawa pendidikan hendaklah melahirkan rakyat Malaysia yang bertanggungjawab seperti menyedari tugas dan tanggungjawab adalah amanah, mematuhi peraturan dan undang-undang dan sebagainya.
9.         Rakyat Malaysia yang berketerampilan.
Seseorang yang berketerampilan merupakan orang yang kompeten dan cekap dalam melaksanakan sesuatu kerja. Pendidikan hendaklah dapat melahirkan rakyat yang berpengetahuan dan berkemahiran tinggi agar dapat menjalankan tugas dengan berkesan.
10.       Rakyat Malaysia yang berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri.
Kesejahteraan diri adalah penting dalam kehidupan manusia. Terdapat manusia yang kaya raya, berkelulusan tinggi dan berpangkat besar tetapi kehidupannya tidak sejahtera. Untuk mencapai kesjahteran ini seharusnya manusia itu memiliki fikiran yang waras, jiwa tenang, badan yang sihat, daya ketahanan diri yang kuat dan juga mampu mewujudkan perhubungan yang baik.

PELAKSANAAN SISTEM PENDIDIKAN KEBANGSAAN.
Sistem  pendidikan  kebangsaan  mengandungi  beberapa  unsur  penting  yang  terdiri  daripada:-
1.      Peringkat pendidikan dari yang paling bawah ke tahap yang paling tinggi.
2.      Jumlah tempoh pengajian bagi setiap  setiap  peringkat.
3.      Kurikulum  bagi  setiap  peringkat  dan  jurusan.
4.      Sistem  penilaian  dan  jenis  sijil  atau  kelulusan  yang dikeluarkan.
5.      Sistem  pentadbiran,  kewngan,  pemantauan  dan  pengawalan.
6.      Latihan  dan  skim  perguruan.
Sekiranya  dilihat  dari  segi  sistem  yang   telah  disediakan  dan  dilaksanakan  selama  ini,  terdapat  usaha  yang  gigih  untuk  memperbaikinya  dari  semasa  ke  semasa.  Sekiranya  ditinjau  secara  halus  dari  segi  hasil  dasar  dan  sistem  pendidikan  kebangsaan,  seharusnya  ia  mampu  mengeluarkan  pelajar  yang  berilmu,  bermoral (berakhlak),  beradab  dan  bersopan,  seorang  individu  yang  boleh  menjadi  warga  negara  yang  cukup  baik dan sempurna.  Namun  terdapat  berbagai  masalah  moral,  disiplin  dan  kelemahan  akademik  dikalangan  sebilangan  besar  pelajar  Melayu,  tidak  kira  luar  bandar  mahupun  bandar.

i.                    ISU  MORAL  DAN  CARA  MENANGGANI
Sebagaimana  yang  kita  tahu  bahawa  falsafah  pendidikan  negara  terkini  yang  telah  digubal  pada  akhir tahun  lapan  puluhan  mementingkan  pembangunan  individu  secara  bersepadu  yang  merangkumi  pembangunan  mental,  rohani,  fizikal  dan  psikologi.  Namun kita  masih  lagi  mendapati  gejala  sosial  semakin  merebak  terutama  dikalangan  remaja  Melayu  dalam  bentuk  penyalahgunaan  dadah,  seks  tanpa  perkahwinan,  rogol,  pembunuhan,  lepak, bohsia  dan  banyak  lagi  yang  lain.  Salah  satu  faktor  yang  dapat  membendung  gejala  sosial  yang  amat  ngeri  dan  negatif  ini  ialah  memperkukuhkan  akhlak  dan  budi  pekerti  yang  mulia  seperti  yang  dituntut  oleh  Islam.  Atau lebih  tepat  lagi  hidup  berpegang  taat  kepada  ajaran  agama,  melakukan  yang  disuruh  dan  menjauhkan  yang  dilarang.  Akhlak  bukanlah  sesuatu  perkara  yang  boleh  ditunjuk  ajar  semata-mata  tetapi  memerlukan  contoh  dan  teladan  yang  baik  serta  bimbingan  yang  berterusan  dari rumah  hingga  ke  sekolah  dan  seterusnya  ke  masyarakat  umum.  Namun  peranan  sekolah  di  sini  ialah  dalam  melaksanakan  pendidikan  moral  dan  pendidikan  Islam.
Selain  dari  itu,  peranan  ibu  bapa  dan  penjaga  juga  amat  penting  kerana  apa  yang  diajar  di  sekolah  seharusnya  sama  seperti  apa  yang  di  lihat  di  rumah.  Jika  di  sekolah  guru  berhempas  pulas  menanamkan  nilai-nilai  murni  di  dalam  diri  anak-anak  tetapi  apabila  pulang  ke  rumah  mereka  disogokkan  dengan  pertengkaran  ibu  bapa  atau  ahli  keluarga  yang  lain,  maka  anak-anak  ini  akan  jadi  keliru,  ajaran  guru  akan  menjadi  seperti  mencurah  air  ke  daun  keladi.  Maka  di  sini  peranan  ibu  bapa  juga  amat  penting  usaha  untuk  membangunkan  sahsiah  individu  dalam  masyarakat. 
ii.                  Akses Pendidikan
Selaras dengan perkembangan teknologi semasa, KPM telah memperkenalkan Teknologi Maklumat dan Komunikasi atau Informal and Communication Technology (ICT) dalam pendidikan yang meliputi aspek prasarana, pengisisn dan latihan guru. KPM telah melaksanakan pelbagai projek  ICT dengan pembekalan komputer sebagai aktiviti utama penyediaan  infrastruktur ICT. Namun isu dan masalah yang menjejaskan usaha penggunaan ICT dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Antara masalah tersebut ialah pembekalan komputer yang tidak seimbang antara sekolah bandar dn luar bandar.  Perisian komputer untuk PDP  yang sesuai susah diperolehi. Latihan dalam perkhidmatan untuk guru mengendalikan sistem komputer di sekolah yang kurang berkesan dan terhad. Penyelenggaraan komputer yang kurang memuaskan di sekolah dan bilangan guru terlatih dalam ICT yang belum mencukupi.
iii.                Tenaga Pengajar
Kekurangan tenaga pengajar yang berkemahiran  turut menjadi isu. Berdasarkan statistik yang dikeluarkan oleh Bahagian Perancangan Pembangunan  Pendidikan (BPPDP) Kementerian Pelajaran Malaysia, pada tahun 2000 sebanyak  61.8  guru  terdiri  daripada  guru  perempuan dan KPM menghadapi masalah menempatkan mereka di sekolah luar bandar, khususnya di pedalaman dan pulau. Kebanyakan sekolah di pendalaman dan pulau khususnya di Sabah dan Sarawak mendapat guru yang kurang berpengalaman atau kurang latihan. Keadaan ini juga menyebabkan berlakunya ketidakseimbangan  dalam pengagihan guru mengikut opsyen.  Disebabkan perkara ini maka berlakulah dimana kebanyakan guru yang mengajar di sekolah menjadi bidan terjun iaitu guru yang bukan opsyen terpaksa mengajar mata pelajaran kritikal seperti Matematik, Sains dan Bahasa Inggeris bagi memenuhi keperluan sekolah dan pelajar. Risiko dari kekurangan pengalaman dan pengetahuan tentang subjek berkenaan maka kewibawaan guru dalam penyampaian ilmu kepada pelajar mula dipertikaikan.

iv.                 PPSMI
Seiring dengan matlamat kerajaan  ingin melahirkan pelajar yang bertaraf dunia, KPM juga telah melaksanakan Program Pengajaran dan Pembelajaran Matematik dan Sains dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).  PPSMI  telah  termaktub  sebagai  keputusan  dasar  kerajaan  Malaysia hasil  daripada  Mesyuarat  Khas  Jemaah  Menteri pada 19 Julai 2002 ,  Kerajaan telah memperuntukkan belanja yang besar untuk menjayakan PPSMI ini. Tidak semua rakyat memberikan respon yang baik terhadap program ini. Perkara ini berlaku kerana penggunaan bahasa asing bukan saja merosakkan kedudukan Bahasa Kebangsaan sebagai bahasa ilmu malah ianya turut memusnahkan reputasi pelajar khususnya pelajar di luar bandar.  Bagi murid yang tinggal di luar bandar,  mereka memang sukar untuk mendapatkan bahan-bahan ataupun kelas-kelas tuisyen dalam Bahasa Inggeris. Kadang-kadang ada juga sekolah yang tidak ada guru Bahasa Inggeris yang terlatih, mereka diajar oleh guru ganti yang kurang mahir dan kurang berkemampuan dalam Bahasa Inggeris. Pelajar ini belajar belajar melalui medium yang mereka tidak faham. Komunikasi tidak berkesan dalam pelajaran sudah tentu memberi kesan yang buruk terhadap reputasi pelajar.  Bagi pihak tenaga pengajar juga mereka kurang mahir berkomunikasi dalam Bahasa Inggeris. Apabila tidak mahir berbahasa Inggeris maka penyampaian akan terganggu atau lebih buruk lagi perkataan yang digunakan tidak menepati maksud isi sesuatu pelajaran.  Walaupun guru-guru ini menjalani kursus ETeMS, namaun dalam masa yang sesingkat itu tidak mungkin guru dapat menguasai sepenuhnya pertuturan dalam bahasa berkenaan.  Jalan terbaik adalah memansuhkan pengajaran sains dan matematik dalam Bahasa Inggeris secara berperingkat. Sebagai gantinya KSSR  telah  diperkenalkan dan telah mula dilaksanakan mulai tahun 2011.  MBMMI membawa maksud  mempertabatkan bahasa Melayu dan memperkasakan Bahasa Inggeris.  Banyak pihak yang setuju dengan tindakan drastik kerajaan ini.  

PEMBENTUKAN DASAR PENDIDIKAN  KEBANGSAAN
Dalam tahun-tahun menuju kemerdekaan telah timbul kesedaran di kalangan para pemimpin dan rakyat tentang betapa  pentingnya  diadakan satu sistem pendidikan kebangsaan untuk mengantikan sistem pendidikan penjajah demi memenuhi kehendak negara.  Atas kesedaran inilah lahirnya Dasar Pendidikan Kebangsaan Malaysia melalui Penyata Razak 1956  dan termaktub di dalam Ordinan Pelajaran 1957.  Dasar Pendidikan telah disemak semula semula pada tahun 1960 yang telah menghasilkan Laporan Rahman Talib.  Laporan ini termaktub di dalam Akta  Pelajaran 1961.  Sebuah jawatankuasa telah dibentuk pada tahun 1974 untuk mengkaji semula dasar pendidikan dengan tujuan untuk memperbaiki perlaksanaannya supaya matlamat untuk melahirkan masyarakat yang bersepadu  dan berdisiplin serta memenuhi keperluan semasa rakyat yang terlatih untuk mencapai  pembangunan  negara.  Laporan  jawatankuasa  telah  diterbitkan  dalam  tahun  1979.  Kesedaran itu timbul bagi mengantikan sistem pelajaran yang tidak memuaskan, yang mana sistem ini telah disusun oleh penjajah. Sebagimana yang kita tahu sistem pendidikan zaman penjajah telah berkembang tanpa mempertimbangkan  keperluan pembangunan, pembinaan identiti kebangsaan  dan perpaduan negara. Sistem pendidikan zaman penjajah juga masih mengekalkan taat setia rakyat pendatang  kepada negara asal mereka dan menahan  kebangkitan semangat pembangunan rakyat tempatan. 
Zaman pensejagatan atau globalisasi  merupakan  satu cabaran baru  bagi  sistem  pendidikan  kita.  Lahirnya  Akta  Pendidikan 1996  adalah  satu  sahutan  kepada  cabaran  berkenaan,  Buat  pertama  kalinya,  kita  melihat  berbagai  pengukuhan  dan  penegasan  dilakukan  oleh  pihak  kerajaan  termasuklah  teras  kepada  sistem  pendidikan  iaitu  falsafah  pendidikan  negara.  Pendidikan  bertaraf  dunia  atau  Malaysia  sebagai  pusat  kecemerlangan  dijadikan  objektif  sisitem  pendidikan  masa  kini  sebagai  maksud  beberapa  akta  pendidikan  yang  lain.  Buat  pertama  kalinya  kita  melihat  bukan  isu  perpaduan  sahaja  sebagai  isu  utama  yang  perlu  diselesaikan  akan  tetapi  isu  yang  lebih  global  seperti  keperluan  guna  tenaga  dan  keterampilan  ilmu  yang  sesuai  dalam  zaman  ini.  Apatah  lagi  zaman  ini  dikenali  sebagai  permulaan  gelombang  maklumat  dan  pengetahuan.
OBJEKTIF DASAR  PENDIDIKAN KEBANGSAAN.
Kementerian Pendidikan dengan berpandukan  kepada Penyata Razak 1957 dan Laporan Rahman Talib 1960, telah mentafsirkannya sebagai menyatupadukan kanak-kanak sekolah berbilang kaum dan menyediakan tenaga kerja bagi keperluan ekonomi. Objektif ini diperkhususkan lagi  apabila Jawatankuasa Kabinet  dibentuk sekaligus membentuk  beberapa bidang tugas yang tertentu.  Dasar Pendidikan Kebangsaan diharapkan dapat memenuhi keperluan tenaga rakyat negara ini dalam jangkamasa pendek  dan jangkamasa panjang, melahirkan masyarakat yang bersatupadu, berdisplin dan terlatih. Beberapa starategi  telah digubal untuk mencapai matlamat ini adalah seperti berikut:
i.          Menjadikan Bahasa  Kebangsaan sebagai bahasa pengatar yang utama.
ii.         Mengadakan kurikulum yang sama dan berorentasikan Malaysia bagi semua jenis sekolah.
iii.        Mewujudkan sistem peperiksaan yag sama bagi setiap jenis sekolah.
iv         Melicinkan tatacara pengurusan pendidikan.
v.         Mengadakan peluang pendidikan asas sembilan tahun.

ISU DAN KESAN PELAKSANAAN DASAR PENDIDIKAN KEBANGSAAN.

Semenjak ditubuhkan pada tahun 1961, Dasar Pendidikan Kebangsaan masih belum boleh dikatakan berjaya dan mencapai objektifnya. Tidak dinafikan sudah ramai para lepasan univwesiti tempatan dan luar negeri yang dikeluarkan semenjak dilahirkan Dasar Pendidikan Kebangsaan, tetapi keadaan ini tidak boleh dianggap sebagai kejayaan di dalam erti kata yang sebenar. Walaupun sudah banyak sumber manusia disumbangkan bagi pembangunan negara tetapi  sebilangan  dari mereka tidak mampu menunjukkan  nilai akhlak dan budi pekerti yang mulia dan luhur. Oleh sebab itu tidak hairanlah kenapa ramai dari kalangan intelek dan cendiakawan yang terlibat dengan skandal dan jenayah kolar putih.
1.      Jenayah Kolar Putih
Kita selalu disuapkan dengan cerita-cerita dari media massa yang mendedahkan kegiatan rasuah, penipuan di kalangan para pegawai kerajaan, pengelapan wang rakyat, jenayah yang melibatkan kehilangan jiwa dan lain-lain lagi.

Seperti mana yang kita tahu,  orang-orang yang terlibat dalam kes-kes itu adalah orang terpelajar yang mendapat pendidikan tinggi. Kemankah perginya segala ilmu yang telah mereka pelajari. Mereka seolah-olah diajar supaya melakukan perkara sedemikian sedangkan tidak ada sukatan peljaran di Malaysia bahkan seluruh dunia yang mengajar anak bangsanya supaya mencuri, menipu, merompak, melakukan rasuah malah berbohong sekalipun.

2.      Keruntuhan moral dikalangan pelajar
Beberapa isu berkaitan dengan struktur pendidikan antaranya termasuklah struktur pendidikan menengah yang tidak selaras kurang menepati keperluan. Antaranya bilangan tahun persekolahan struktur pendidikan Malaysia tidak sama dengan kebanyakan negara lain di dunia. Tidak dapat keseragaman dalam kemasukan ke Institusi Pengajian Tinggi (IPT) disebabkan wujudnya pelbagai haluan. Kebanyakan pelajar memilih untuk menamatkan persekolahan mereka apabila tamat peperiksaan SPM. Skop  kurikulum tingkatan 1 hingga tingkatan 6 terlalu luas. Ekoran dari masalah di atas keruntuhan  dikalangan pelajar berlaku dengan meluasnya. Sebilangan pelajar yang berumur 14 hingga 16 tahun atau pelajar tingkatan empat dan enam rendah menganggap tahun pembelajaran mereka adalah “tahun bulan madu” ini merupakan masa untuk mereka berpesta  dan bersukaria serta melakukan apa saja mengikut kehendak mereka tanpa terikat dengan mana-mana pihak. Perkara ini terjadi mungkin disebabkan menurut ketetapan Dasar pendidikan Kebangsaan, dimana pelajar tingkatan empat dan enam rendah tidak terdapat peperiksaan utama bagi mereka berbanding  dengan pelajar tingkatan tiga,  tingkatan lima dan tingkatan enam atas, dimana mereka akan menempuh peperiksaan PMR, SPM dan STPM.  Perkara ini berlaku kerana mereka hanya beranggapan bahawa mereka menuntut ilmu semata-mata untuk mendapatkan sijil-sijil tersebut sahaja. Pada pendapat mereka tahun-tahun yang tidak terdapat peperiksaan utama, mereka tidak perlu belajar dengan tekun, sebaliknya mereka mengisi masa tersebut dengan berhibur dan melakukan perkara-perkara yang tidak berfaedah bersama kawan-kawan. Ramai para pelajar yang berumur di antara 13 hingga 19 tahun terlibat dalam penyalahgunaan dadah, lari dari rumah, rogol dan jenayah-jenayah lain. Beberapa kajian telah dijalankan tentang penglibatan dadah yang dibuat terhadap 90 buah sekolah menengah di seluruh anaegara menunjukkan 343 orang pelajar terlibat dalam penagihan dadah. Dari laporan ini bermakna hitung panjang murid yang menagih dadah di setiap sekolah adalah 4 orang. Tidak ketinggalan juga ramai juga pelajar yang terlibat dalam kes meminum minuman keras tatkala usia mereka baru mencapai 15 tahun. Terdapat juga dikalangan mereka ini yang  sering pergi ke kelab-kelab malam kerana mencari hiburan dan menikmati minuman keras.  
3.      Membunuh diri.
Lebih menyedihkan lagi ada diantara mereka yang sanggup membunuh diri ekoran dari kegagalan mereka menyelesaikan sesuatu masalah yang dihadapi.  Selalunya masalah pelajar ini adalah masalah yang berhubungkait dengan keluarga, seperti keluarga yang bercerai-berai, keluarga yang terlalu mendesak dan memberi tekanan dalam pelajaran,  keluarga yang tidak bahagia dan keluarga yang memang mempunyai ahli yang sedia bermasalah  seperti ayah yang tidak bertanggungjawab yang sanggup merogol anak sendiri.  Tidak ketinggalan juga ada yang membunuh diri kerana gagal bercinta.
Antara peristiwa yang boleh kita jadikan contoh ialah kes Norasiah Mamat, seorang pelajar tingkatan tiga yang menggantung diri sampai mati pada 14.8.1988.  Liew Yew Sin, pelajar  berusia 16 tahun mati membunuh diri dengan meminum racun pada 12.1.1987. Persoalannya di sini kenapakah orang-orang yang mendapat pendidikan yang sempurna bahkan yang masih menuntut melakukan perkara-perkara sedemikian?  Adakah Dasar Pendidikan Kebangsaan gagal mencapai matlamat membentuk anak bangsanya ke arah kesempurnan ilmu dan peribadi.

FAKTOR KEGAGALAN DASAR PENDIDIKAN KEBANGSAAN
            Dasar Pendidikan Kebangsaan memang telah berjaya melahirkan ramai golongan  cendekiawan dan ilmuan tetapi masih belum berjaya melahirkan cendekiawan yang berakhlak mulia  dan berperibadi luhur . Akhlak dan peribadi yang luhur adalah sesuatu yang penting untuk mewujudkan  keamanan di dalam sesebuah negara.  Kegagalan tersebut mungkin disebabkan oleh Dasar pendidikan Kebangsaan hanya mempunyai matlamat dan tidak mempunyai falsafah pendidikan. Sedangkan pembentukan falsafah sangat penting untuk mencapai sesuatu matlamat da dalam sesuatu pekerjaan. Pada hakikatnya nama dasar bukanlah sesuatu yang terlalu penting, yang paling penting ialah falsafah, matlamat,objektif dan isi kandungan yang menentukan  pengisian untuk mendidik seseorang individu. Pembentukan Kurikulum Baru Sekolah Menengah menyedarkan kita tentang betapa pentingnya falsafah di dalam sesuatu kurikulum pendidikan. Perlaksanaan Dasar Pendidikan Kebangsaan tanpa falsafah menjadikannya menyimpang dan menyeleweng jauh dari dasar ilham dasar pendidikan yang sebenar.
                  Perlaksanaan Dasar Pendidikan Kebangsaan tanpa falsafah tidak berjaya  menyampaikan konsep ilmu dengan padu. Keadaan ini menjadikan ilmu-ilmu yang diajar  sama ada sains,sastera dan agama seolah-olah separuh benar dan terpisah-pisah antara satu sama lain. Maka oleh sebab itu tidak hairanlah jika lahir dua golongan yang bertentangan  pendapat dalam masyarakat hari ini. Golongan tersebut terdiri daripada mereka yang mementingkan dunia tanpa menghiraukan  akhirat dan sebaliknya.
Jika dilihat dari konteks pendidikan di Malaysia hari ini, gejala-gejala ini berada ditahap yang membimbangkan sekiranya  pendidikan yang merupakan unsur terpenting tidak diperbaiki. Akibatnya generasi yang akan datang akan mengalami keruntuhan moral yang lebih teruk lagi. Ianya juga akan memusnahkan ummah keseluruhannya. Sebagai cadangan balas untuk memperbaikinya, pembentukan KBSM telah meletakkan nilai-nilai ketuhanan, akhlak, keimanan dan lain-lain yang dikira memenuhi tuntutan fitrah manusia di muka bumi ini.

PERLAKSANAAN KBSM
Perbincangan tentang konsep dan falsafah pendidikan dalam menilai semula Dasar Pendidikan Kebangsaan ke arah membentuk proses pendidikan yang sempurna telah membuahkan hasil dengan terbentuknya Kurikulum Baru Sekolah Menengah  (KBSM) pada tahun 1988.  Ekoran dari itu Pusat Perkembangan Kurikulum telah berjaya membentuk falsafah pendidikan negara yang lebih mantab. Penyataannya adalah seperti berikut;
Pendidikan adalah usaha ke arah mengembangkan potensi kanak-kanak secara menyeluruh bagi membolehkan mereka menjadi insan yang baik, sempurna perkembangannya dari segi rohani dan jasmani berdasarkan kepada Tuhan dan menjadi rakyat yang berilmu pengetahuan, bertanggungjawab dan berkebolehan mencapai kebahagiaan serta memberi sumbangan positif terhadap pembangunan masyarakat Malaysia yang taat setia, berdisplin, berakhlak mulia dan bersatupadu selaras dengan prinsip-prinsip kewarganegaraan yang unggul dan Islam sebagai  agama Persekutuan.  
Berdasarkan pernyataaan di atas, gabungan antara intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepada kepercayaan kepada Tuhan adalah menepati falsafah pendidikan Islam  yang selama ini  dibahaskan.     
i.                    Penerapan nilai-nilai islam melalui nilai-nilai murni
 Kaedah pendidikan yang menekankan tiga aspek utama iaitu   aspek ilmu dan kemahiran, aspek nilai dan aspek bahasa. Dalam ketiga-tiga aspek ini, aspek nilai murni lebih ditekankan, malah ia dijalankan secara bersepadu.Dengan ini penerapan nili-nilai Islam dapat dilihat di dalam nilai-nilai murni yang dilaksanakan secara bersepadu di dalam kurikulum setiap mata pelajaran yang diajar  .Menurut gagasan PPK, nilai murni dalam KBSM dimaksudkan sebagai:
“Unsur nilai merupakan komponen bersepadu yang penting  dan dilaksanakan merentasi kurikulum selain daripada yang diajar di dalam pendidikan Islam atau Moral.”
“Penerapan nilai-nilai murni dilakukan secara sedar yang sengaja.  Nilai-nilai murni yang ditegaskan meliputi kerohanian, kemanusiaan dan kewarganegaraan.”
Berdasarkan  huraian ini jelaslah bahawa penerapan dan penghayatan nilai-nilai murni di dalam pembelajaran perlulah dilakukan secara aktif dalam setiap aktiviti pembelajaran, tidak kira pembelajaran dalam bilik darjah,  pembelajaran amali dalam makmal, kerja lapangan dan sebagainya.  Beberapa aspek nilai-nilai murni yang dilaksanakan di dalam setiap mata pelajaran termasuklah : nilai berdikari, keberanian, kebersihan,kejujuran, rasional, baik hati dan kasih sayang. Gmbaran yang jelas kepada kita semua bahawa nilai-nilai tersebut adalah di antara nilai-nilai yang dianjur oleh agama Islam.  Terdapat beberapa cara yang dicadangkan oleh parapengkaji dan perancang dasar pendidikan kebangsaan bagi  mencapai matlamat pendidikan KBSM.  Antaranya  di dalam pembelajaran mata pelajaran sains, guru-guru dikehendaki memikirkan aspek  dan nilai-nilai Islam yang sesuai dengantajuk yang bakal diajar kepada murid-muridnya.  Contohnya tajuk “Dunia melalui deria kita”, pengajaran yang dapatditimbulkan di sini ialah kesedaran betapa sempurnanya penciptaansisitem biologi kepada manusia.  Bagi tajuk  “Peranan manusia dalam keseimbangan alam”, pengajarannya boleh  dikaitkan kepada kesedaran bahawa sumber-sumber alam adalah amanah Allah kepada manusia.
Tegasnya di sini, tidak dapat dinafikan dan diragukan bahawa KBSM mempunyai ciri-ciri penting pendidikan  Islam  yang matlamatnya ialah melahirkan seorang muslim insan yang kamil dam solehah  manakala yang bukan Muslim pula lahir sebagai warganegara yang mempunyai kesatuan fikiran dan perasaan sebagai satu ummah dan taat setia kepada negara dan berbakti kepada ummah dengan kemahiran yang sewajarnya. Generasi yang berkeperibadian begini akan dapat dibina menerusi tiga konsep dimensi kurikilum seperti termaktub dalam KBSM.

ii.                  Akhlak  di dalam nilai-nilai murni KBSM
Akhlak  di dalam kehidupan manusia sehari-hari amatlah penting dan perlu untuk mewujudkan  keamanan dan keharmonian di dalam sesebuah  kelompok masyarakat. Dengan itu ia sangat penting ditekankan di dalam proses pendidikan ibarat pepatah melentur buluh biarlah dari rebungnya.  Akhlah yang hendak diterapkan melalui kurikulum KBSM adala akhlak yang berasaskan nilai-nilai Islam yang sesuai dengan falsafah Al-Quran dan As-Sunnah. Selain dari faktor kurikulum, melalui pengajarannya guru juga boleh menyampaikan pendidikan Islam dan nilai murni dengan teladan-teladan yang boleh membentuk diri pelajar.  Pelajar digalakkan menjelajah dan mengkaji isu-isu akhlak yang berteraskan Islam dan moral setiap kaum dengantujuan menganalisa masalah-masalah sosial, membahaskan masalah-masalah yang berlainan, membuat telahan dan mencapai keputusan yang tepat. Kajian ini boleh dilakukan di dalam pelajaran moral, Bahasa Malaysia dan sejarah. Sebagai contoh di dalam mata pelajaran sejarah,  boleh dibuat kajian tentang nilai-nilai akhlak bagi sesuatu kaum dahulu, sekarang dan akan datang.
Pelaksanaan KBSM dengan menjadikan nilai-nilai murni sebagai  asas  utama  dalam kurikulum pendidikan kebangsaan secara bersepadu ini adalah untuk memastikan semua matapelajaran yang diajar tidak terpisah diantara  satu sama lain. Seterusnya dapat mewujudkan  per paduan  di dalam masyarakat majmuk.

KRISIS PEMIKIRAN MENGHALANG KBSM
Sebelum  dapat dibina satu konsep KBSM  yang benar-benar sempurna dan berjaya, maka masalah utama perlu di tanggani terlebih dahulu.  Masalah tersebut ialah krisis pemikiran.  Terdapat beberapa perkara yang terlibat di dalam krisis pemikiran ini.
i.          Mementingkan Matlamat Dari Dasar Dan Falsafah.
Terdapat sebilangan besar dari kalangan rakyat Malaysia yang mementingkan matlamat untuk melahirkan ahli sains dan teknologi bagi membanyakkan tenaga rakyat dan tenaga mahir untuk kemajuan negara dan mencapai perpaduan. Persoalannya kenapakah sampai sekarang matlamat tersebut masih belum tercapai?, masih ramai siswazah yang menganggur?, rukun negara tidak dihormati?, dan mengapakah perpaduan kaum masih belum terbina?. Jawapannya ialah masalah ini tidak dapat diselesaikan kerana dasar pendidikan tidak disertai dengan falsafah.  Oleh itu di dalam sistem pendidikan negara kini telah terdapat falsafah sebagaimana yang disebutkan sebelum ini.  Berikutan dengan itu, semua orang hendaklah berpegang dan berpandukan kepada falsafah tersebut untuk mencapai matlamat pendidikan, falsafah untuk melahirkan insan yang baik hemdaklah diutamakan.


Ii.         Mengagungkan Perspektif  Barat.
Sifat mengagungkan  pendidikandari perspektif Barat sahaja adalah berat sebelah kerana dubia ini luas dan kemajuan tidak hanya terdapat di Barat.  Malah ilmu yang luas terdapat juga di dalam tamadun Timur, Timur Jauh,  Timur Tengah dan sebagainya.  Sikap menggagungkan Barat mungkin timbul kerana mereka hanya melihat Barat yang ditonjolkan oleh dunia sebagai negara yang maju dengan berbagai teknologi termasuk kemajuan di dalam menghasilkan senjata kimia yang kini mengancam nyawa umat manusia di dunia. Para belia di negera-negara maju telah mengalami keruntuhan moral dan akhlak.  Perkara ini sebenarnya membimbangkan Barat kerana mungkin suatu hari nanti tidak akan ada generasi yang benar-benar berwibawa untuk memimpin negara tersebut. 
Perkara ini membimbangkan negara kita juga kerana keadaan yang sama juga hampir berlaku di negara kita kerana mengambil sistem pendidikan Barat.  Menurut pemikiran sekular Barat, agama diasingkan daripada aspek kehidupan lain, termasuk sistem pendidikan yang mengabaikan aspek agama sedangkan agama merupakan satu tuntutan yang sangat diperlukan oleh jiw manusiadi dunia ini.  Oleh itu pemikiran yang berorentasikan Barat hendaklah dihapuskan dan dikembalikan kepada falsafah KBSM  yang telah dibentuk untuk mencapai matlamat melahirkan insan yang kamil.

Iii.        Mementingkan Akal Daripada Akhlak.
Sudah menjadi kebiasaan pendidikan di Malaysia hari ini ialah mementingkan kejayaan individu, kebendaan dan kemewhan.  Untuk mencapai matlamat ini tidak hairanlah kalau aspek akal dan pemikiran yang dikembangkan.  Akibatnya lahirlah generasi cendikiawan yang tidak berakhlak dan tidak bermoral. Jenayah kolah putih dan kejatuhan moral di kalangan para pelajar sekolah mencerminkan sistem pendidikan yang tidak sihat.  Untuk mengatasi masalah ini, kita hendaklah kembali kepada falsafah pendidikan pendidikan yang menekankan aspek kerohanian, disamping menanam ilmu untuk mewujudkan generasi yang mahir dan berfikir.
Tegasnya di sini, segala pemikiran yang tidak seimbang yang menyebabkan kegagalan perlaksanaan dasar pendidikan sebelum ini hendaklah  dihapuskan dan dikembalikan kepada falsafah pendidikan  yang selaras dengan perlaksanaan KBSM.  Semuanya bergantung juga kepada kebijaksanaan guru kerana tanpa guru yang terlebih dahulu dilatih bersesuaian dengan perlaksanaan KBSM, permasaalahan ni tidak akan selesai.  Dengan perkataan yang lebih tepat, kejayaan KBSM memerlukan guru-guru yang memerlukan guru-guru yang mempunyai nilai-nilai murni yang berteraskan Al-Quran dan Sunnah bersesuaian dengan falsafah pendidikan.  Bagi guru-guru yang bukan Muslim pula , mereka hendaklah  memiliki nilai-nilai moral yang sesuai denganKBSM yang dapat membentuk generasi dengan nilai-nilai murni.

KESIMPULAN.
Kesimpulannya, Dasar pendidikan kebangsaan pada hari ini sedang mengalami era baru dengan wujudnya falsafah pendidikan negara yang berasaskan pandangan am tauhid yang mantap untuk melahirkan generasi yang benar-benar sempurna ilmu pengetahuan, kemahiran dan keperibadiannya. Walau bagaimanapun tidaklah diketahui samada perubahan yang ada sekarang berkekalan atau sebaliknya. Namun begitu, dapatlah dikatakan  bahawa masyarakat di Malaysia pada hari ini mulai bertambah tegas untuk merubah masa depan anak-anak mereka kepada keadaan yang lebih sempurna.  Kerajaan juga berusaha menyediakan  segala keperluan dunia pendidikan agar pendidikan di Malaysia bertaraf dunia. Latihan perguruan (IPGM) disusun dan dirancang agar dapat melahirkan guru-guru yang berkualiti dan memahami Dasar dan Falsafah Pendidikan Kebangsaan.






RUJUKAN:
1.      Abdul Rahman Haji Abdullah. (2005). Wacana falsafah ilmu:analisis  konsep-konsep dan Falsafah Pendidikan Negara. Kuala Lumpur: Utusan Publications & Distributors Sdn.Bhd.
2.      Abdul Rahman Arof & Zakaria Kasa (1994). Falsafah dan konsep pendidikan. Kuala Lumpur: Fajar Bakti.
3.      Sharifah Alwiyah Alsagoff. (1985). Falsafah pendidikan. Kuala Lumpur: Heinemann.
4.      Sufean Hussin. (2004). Pendidikan di Malaysia Sejarah, Sistem dan Falsafah. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
5.      Azizi Yahya, Shahrin Hashim dan Yusof Boon. (2008). Falsafah pendidikan konntemporari. Skudai: Universiti Teknologi Malaysia.
6.      Yusuf Ismail. (2006). Dasar-dasar utama kerajaan Malaysia. Gombak: Universiti Islam  Antarabangsa. A.S. Noordeen
7.      Jurnal Pendidikan ( Keluaran Khas KBSM). 1998
8.      Bacaria. 27 Ogos 1988.
9.      Dakwah. Julai 1982.
10.  Dewan Masyarakat. Januari 1987

No comments:

Post a Comment